Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan.
1. Pemakanan yang betul
Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.
2. Jangan membebankan diri
Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.
3. Berehat
Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.
4. Berinteraksi dengan keluarga dan rakan
Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.
Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya. Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan membantu mengurus stres dengan baik.
Sumber
No comments:
Post a Comment