Thursday, 29 March 2012

Pelajar Antarabangsa Hayati Warisan Budaya Negeri Perlis



salam sejahtera...saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang kebudayaan di negara Perlis yang sedang mebangun ini..selamat membaca..:D



Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah diamanahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menganjurkan Program Sanggar Budaya Pelajar Antarabangsa Antara IPT 2011 pada tahun ini. Program yang telah berlangsung dari 8 hingga 11 Disember 2011 ini merupakan anjuran bersama Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Unit Kajian Strategik (UKS) UniMAP dengan melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa dari seluruh IPT Malaysia bagi menggalakkan integrasi di kalangan mereka. Bersempena dengan itu, UniMAP telah memilih untuk menggunakan konsep ‘homestay’ di kampung-kampung tradisional terpilih sekitar negeri Perlis dengan melibatkan 80 buah keluarga angkat Melayu.

Antara kampung-kampung yang terlibat adalah Kg. Ujung Bukit, Bintong; Kg. Chemumar, Guar Sanji; Kg. Simpang Tiga, Dato’ Kayaman; dan Felda Chuping, Chuping. Seramai 200 pelajar antarabangsa daripada 30 buah negara terlibat di antaranya China, Uzbekistan, Yemen, Sudan, Somalia, Jordan, Cameron, Turki, Tanzania, Thailand, Bangladesh, Palestin, Ethopia dan banyak lagi. Sebanyak 11 buah IPTA dan IPTS telah menyertai program ini antaranya UUM, UTM, UPM, UM, UMT, USM, UiTM, UNIMAS, UNITEN, UTP dan MMU. Selaku hos pada kali ini, program ini juga melibatkan 100 orang pelajar baru antarabangsa UniMAP yang turut tidak ingin ketingalan.

Hari pertama program merupakan sesi pendaftaran dan taklimat khas kepada semua peserta dan petugas program berlangsung di Dewan Kapitol. Pada hari kedua, Majlis Perasmian Program Sanggar Budaya dan Inovasi Sosial diadakan di Kampus Pauh Putra UniMAP bersaksikan hampir 3,000 pelajar tempatan dan antarabangsa berhimpun bagi menyaksikan gimik pelancaran dan simbolik penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat terlibat. Majlis disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail, Canselor UniMAP bersama DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah, Pro Canselor UniMAP yang turut hadir mencemar duli. Turut hadir adalah Y. Bhg. Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Naib Canselor UniMAP dan isteri.

Program ini bukan sahaja mendedahkan pelajar antarabangsa dengan adat resam dan budaya masyarakat tempatan khususnya negeri Perlis,  bahkan turut menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dikalangan mereka. Melalui konsep ‘homestay’ di kampung tradisional ini, para pelajar berpeluang memahami, menghayati dan menyesuaikan diri dengan budaya, makanan, aktiviti dan persekitaran kampung Melayu. Program seumpama ini mampu membentuk perwatakan dan sahsiah diri yang positif selain mewujudkan perpaduan melalui interaksi kaum dan budaya, bekerjasama dalam kumpulan tanpa mengira perbezaan latar belakang budaya, bangsa, agama, negara dan idealogi semua yang terlibat. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah berbeza mengikut kampung. Diantara aktiviti di kampung adalah majlis kenduri, gotong-royong kampung, permainan tradisional (congkak dan gasing), pembuatan kraftangan, memasak juadah tradisional, persembahan alat muzik tradisional (hadrah dan terinai) dan persembahan kebudayaan bersama keluarga angkat masing-masing.

Pada hari terakhir, Majlis Penutup Sanggar Budaya diadakan di Dewan Felda Chuping. Semua keluarga angkat diminta berkumpul dan berpusat disitu bagi tujuan penyerahan kembali kepada pihak UniMAP. Majlis tersebut dirasmikan oleh Y. Bhg. Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Naib Canselor UniMAP. Majlis turut diserikan  dengan persembahan kebudayaan, aksi seni silat oleh penduduk kampung terlibat dan nyanyian oleh pelajar antarabangsa sebelum peserta pulang ke universiti masing-masing.


No comments:

Post a Comment