IPOH - Polis sentiasa berusaha dalam mengekang jenayah penculikan remaja
dan kanak-kanak daripada berlaku memandangkan kes tersebut dilihat
semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, untuk tujuan
itu berkemungkinan satu ‘task force’ ataupun jawatankuasa khas akan
dibentuk bagi membedung jenayah itu dari terus berlaku.
Bagaimanapun, menurutnya, sebarang polisi berkaitan perkara sedemikian hanya akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi PDRM.
“Saya percaya pucuk pimpinan PDRM sedang menghala ke arah tersebut
tetapi kalau isu berkaitan polisi ini seharusnya diumumkan pucuk
pimpinan tertinggi PDRM,” katanya selepas merasmikan Pelancaran 5S
Peringkat Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri,
semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.
Zakaria yakin pucuk pimpinan tertinggi PDRM sentiasa mengambil langkah
terbaik untuk menyiasat isu jenayah membabitkan remaja dan kanak-kanak
dari semasa ke semasa.
“Polis akan berusaha menjalankan tugas secara berterusan supaya kes
seumpamanya dapat dikurangkan dan diselesaikan dengan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung kes
penculikan remaja dan kanak-kanak yang sering berlaku sejak kebelakangan
ini termasuk kes terbaru membabitkan Nurul Nadirah Abdullah atau
Dirang, lima tahun yang diculik dan ditemui mati dengan mayatnya dibakar
awal bulan ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pelaksanaan 5S
(Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal) yang dilaksanakan
adalah satu garis panduan kepada anggota dan pegawai PDRM supaya dapat
dijadikan budaya harian.
“Saya percaya kita mampu melaksanakan amalan persekitaran berkualiti 5S
dengan baik malah kursus berkaitannya telah disampaikan Perbadanan
Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini kepada anggota dan pegawai
PDRM di sini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua warga kerja PDRM di negeri ini
dapat melaksanakan amalan persekitaran 5S dengan lebih gigih dan efektif
pada setiap masa.
No comments:
Post a Comment